PKPMIPUSAT
Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia

Polaroid

Bismi Allah ArRahman ArRaheem..

Alhamdulillah. Segala puji bagi AlKhaliq, Pencipta Agung yang telah memberi kudrat, kemampuan serta kesempatan kepada kami untuk merealisasikan salah satu matlamat PKPMI Pusat sesi 08/09; iaitu Majalah Rasmi PKPMI. POLAROID kini telah berada di tangan-tangan anda di seluruh Indonesia setelah melalui proses penghasilan selama berbulan-bulan lamanya.

Setinggi penghargaan saya tamsilkan buat barisan PolaCrew; termasuk contributors dari setiap PKPMI cawangan yang telah bertungkus lumus bagi menghasilkan POLAROID, sekaligus menunjukkan komitmen & kerja berpasukan yang cukup membanggakan. Juga buat teman-teman di PKPMI Pusat terutama pimpinan tertinggi persatuan atas keperihatinan, dorongan serta bantuan yang dihulurkan. Suntikan inilah yang menggerak momentum kerja kami sehingga akhirnya membuahkan hasil. Tidak dilupakan, pihak IPEM (Ikatan Penulis Mahasiswa Malaysia di Indonesia) selaku sub unit PolaCrew yang turut berkongsi idea & kepakaran. Terima kasih sekali lagi, dan terima kasih buat semua yang terlibat dalam penghasilan majalah ini; biar secara langsung ataupun tidak.

POLAROID dihasilkan dengan urgensi informasi, dengan harapan ia dapat menjadi medium informasi buat ahli PKPMI di seluruh Indonesia. Segala maklumat dari pihak Kedutaan (JPMI), PKPMI Pusat serta sebarang hebahan dari setiap cawangan akan memenuhi helaian POLAROID. Keadaan geografi Bumi Garuda ini tidak seharusnya menjadi penghalang buat kita untuk saling mengenal dan mewujudkan diri sebagai sebuah keluarga. Keluarga besar PKPMI. Semoga POLAROID sedikit sebanyak membantu kita untuk tujuan tersebut.

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki & seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti" (Al-Hujurat : 13)

Selain itu, ia juga memberi ruang kepada ahli PKPMI untuk mengekspresi diri melalui karya-karya berbentuk cepen, puisi, tulisan ilmiah dan sebagainya melalui pertandingan menulis POLAROID. Hebahan mengenai pertandingan ini akan kami war-warkan dari semasa ke semasa melalui web rasmi PKPMI, serta hebahan ke setiap cawangan. Jangan ketinggalan, dan dapatkan hadiah yang cukup lumayan. Kami perlukan partisipasi aktif dari anda semua!

Sesuatu yang bermanfaat itu adalah yang lebih baik. Besar harapan saya agar POLAROID dapat dimanfaatkan sebaiknya. Pihak PolaCrew sentiasa mengharapkan kritik & saran dari semua agar kualiti pemanfaatannya itu dapat dioptimalkan. Akhir kalam, semoga usaha kita mendapat keredhaanNya. Sekian, wassalam.

Maimanah bt Mohd Rashid

Editor POLAROID,

Merangkap

Exco Penerbitan PKPMI Pusat 08/09

pkpmi_magazine@yahoo.com

 

iklan pertandingan :

PERTANDINGAN KARYA POLAROID

A.Penulisan Karya ilmiah
-Penulisan bersifat ilmiah (fakta, analisa isu dsb)
-Tema adalah bebas (perubatan, isu semasa dsb)
-Tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti perkauman, politik dsb
-Panjang karya hendaklah di antara 360 – 1500 patah perkataan
 
B.Penulisan Karya kreatif
i)  Karya kreatif berbentuk puisi, seloka, syair dsb
ii) Cerpen

  - Panjang karya hendaklah di antara 360 – 1500 patah perkataan

 

C.Deskripsi lokasi menarik (Around Indonesia)
-Hebahkan tentang lokasi-lokasi menarik di tempat anda (wisata, makanan dsb)
-Panjang karya hendaklah di antara 360 – 1500 patah perkataan
-Disertai gambar yang berkaitan (format JPEG)
 

Syarat-syarat penyertaan :

1.Terbuka kepada semua ahli PKPMI di seluruh Indonesia.
2.Memenuhi kriteria yang telah ditetapkan untuk setiap katagori.
3.Karya adalah asli. Mana-mana karya yang didapati tidak asli akan ditolak sama sekali.
4.Format karya :

  - Microsoft Word

  - Font Times New Roman, ukuran 12

  - Line spacing 1.5

  - Alignment justify

  - Disertai NAMA, UNIVERSITI, ALAMAT di INDONESIA & NO TELEFON


5.Penyertaan hendaklah dihantar ke pkpmi_magazine@yahoo.com sebelum 4 Disember 2008
6.Anda bebas menghantar seberapa banyak karya selagi ia adalah karya asli dari anda.
7.Keputusan juri adalah muktamad.
8.Karya yang terpilih akan disiarkan di Majalah POLAROID dan menerima hadiah wang tunai Rp200.000, sijil dari Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia & majalah POLAROID secara percuma untuk keluaran semasa.
 

Catatan : mana-mana karya yang tidak memenuhi syarat di atas akan ditolak secara automatis. Kami menanti partisipasi anda!!